TOPOLOGI BINTANG
Topologi bintang ialah topologi di mana semua kabel penyambung dari komputer akan masuk ke satu lokasi pusat, di mana semua akan disambungkan ke peranti yang dikenali sebagai hab.
Topologi bintang ini juga boleh dikembangkan untuk membentuk rangkaian yang dikenali sebagai topologi bintang hibrid iaitu sambungan dengan beberapa hab.
Setiap komputer di dalam topologi bintang berkomunikasi dengan hab pusat yang akan menghantar utusan sama ada kesemua komputer (dalam rangkaian bintang broadcast) atau hanya kepada destinasi komputer tertentu sahaja (dalam rangkaian bintang switch). Hab dalam rangkaian bintang broadcast terdiri dari dua jenis iaitu jenis aktif atau pasif.
Hab aktif
Hab jenis aktif menjana semula isyarat elektrik dan menghantarnya kesemua komputer dalam rangkaian. Hab ini juga dikenali sebagai multiport repeater. Hab dan switch jenis aktif memerlukan bekalan kuasa untuk berfungsi.
Hab pasif
Hab jenis pasif hanya bertindak sebagai punca penyambungan yang akan menguatkan atau menjana semula sebarang isyarat yang melaluinya. Hab jenis pasif tidak memerlukan bekalan kuasa untuk berfungsi.
Kelebihan dan kelemahan topologi bintang
Kelebihan
- Mudah untuk diubahsuai dan menambah komputer dalam bintang tanpa mengganggu rangkaian.
- Baik pulih rangkaian mudah dilakukan di pusat bintang.
- Satu komputer rosak tidak semestinya menjejaskan rangkaian.
- Boleh menggunakan beberapa jenis kabel dalam rangkaian yang sama, dengan hab yang boleh menerima jenis-jenis kabel yang berlainan.
Kelemahan
- Rangkaian tidak dapat berfungsi jika hab gagal berfungsi.
- Memerlukan peranti di pusat bintang untuk rebroadcast atau tukarkan(switch) trafik rangkaian.
- Harga lebih tinggi kerana semua kabel perlu ditarik daripada pusat.
TOPOLOGI BAS
Topologi bas, juga dikenali sebagai bas linear, ialah topologi rangkaian komputer yang paling mudah. Ia terdiri dari satu kabel yang dikenali sebagaisegmen atau tulang belakang, yang menyambungkan semua komputer dalam rangkaian ke dalam satu barisan.
Komunikasi
Komputer di dalam topologi ini berkomunikasi dengan cara mengalamatkan data kepada satu komputer tertentu dan kemudian meletakkan data tersebut pada kabel dalam bentuk isyarat-isyarat elektronik. 3 konsep perlu diambil kira supaya komputer dapat berkomunikasi di dalam rangkaian bas.
Penghantaran Isyarat
Data dalam rangkaian berada dalam bentuk isyarat elektronik, ia dihantar kepada semua komputer dalam rangkaian. Maklumat ini hanya akan diterima oleh komputer yang mempunyai alamat yang sepadan dengan alamat yang dikodkan oleh isyarat asal. Hanya satu komputer sahaja yang boleh menghantar isyarat atau data dalam tempoh satu masa.
Data dihantar ke semua komputer, tetapi hanya diterima oleh komputer beralamat serupa
Oleh kerana hanya satu komputer sahaja yang boleh menghantar data dalam satu masa, maka ini akan memberi kesan kepada prestasi rangkaian apabila bilangan komputer dalam rangkaian bertambah. Semakin banyak komputer yang tersambung maka semakin lama komputer menunggu giliran untuk menghantar data dan rangkaian akan menjadi semakin perlahan.
Selain itu, ada juga faktor lain yang mempengaruhi kelajuan rangkaian, antaranya:
- Keupayaan perkakasan komputer dalam rangkaian.
- Jumlah kekerapan komputer menghantar data.
- Jenis aplikasi yang sedang dilaksanakan dalam rangkaian.
- Jenis kabel yang digunakan dalam rangkaian.
- Jarak di antara satu komputer dengan komputer yang lain dalam rangkaian.
Lantunan isyarat
Data yang berupa isyarat elektronik yang dihantar ke seluruh rangkaian akan bergerak dari pangkal hingga ke hujung kabel rangkaian. Jika isyarat ini tidak dihentikan, isyarat ini akan melantun ke hadapan dan ke belakang di sepanjang talian tersebut. Ini akan menyebabkan komputer lain tidak dapat menghantar isyarat atau data. Maka dengan itu isyarat ini harus dihentikan setelah ia sampai ke alamat yang dituju.
Penamat
Untuk menghentikan isyarat ini dari melantun, penamat (terminator) diperlukan pada kedua-dua hujung kabel tersebut. Penamat ini berfungsi untuk menyerap isyarat yang telah dihantar agar ia tidak melantun dan mengganggu komputer lain yang sedang menunggu giliran untuk menghantar data.
Kelebihan dan kelemahan topologi bas
Kelebihan
- Mudah dilaksanakan
- Sesuai untuk rangkaian sementara atau rangkaian kecil yang tidak memerlukan kelajuan tinggi (pemasangan segera)
- Kos yang murah
- Lebih efektif kerana menggunakan satu kabel
- Kerosakan mudah dikesan
Kelemahan
- Jika satu kabel rosak atau terputus, maka keseluruhan rangkaian tidak dapat berfungsi. Ini kerana berlakunya lantunan isyarat di dalam rangkaian.
- Panjang kabel dan bilangan komputer terhad
- Menjadi perlahan apabila banyak komputer disambungkan
TOPOLOGI CINCIN
Topologi cincin adalah satu topologi rangkaian komputer di mana setiap nod disambungkan dengan dua nod yang lain, membentuk satu laluan sejajar tunggal untuk penghantaran isyarat terus ke setiap nod. Data akan melalui dari setiap nod ke setiap nod seterusnya, setiap laluan nod yang dilalui akan menerima setiap paket data.
Oleh kerana topologi cincin menyediakan hanya satu laluan di antara dua nod, topologi ini mungkin akan terganggu jika berlaku kegagalan di antara satu pautan. Satu nod gagal berfungsi atau kerosakan kabel berlaku menyebabkan semua nod akan terasing dari topologi cincin. Rangkaian FDDI dapat mengatasi kelemahan dengan penghantaran data mengikut arah jam dan arah lawan jam membentuk cincin: jika berlaku kegagalan data akan dihantar balik untuk melengkapkan cincin sebelum ia sampai dihujung kabel, ia bertindak menyelenggarakan sepanjang setiap nod seperti "cincin C". Protokol rangkaian 802.5 -- juga dikenali sebagai rangkaian gelang token IBM -- juga mengelak kelemahan tersebut: mereka menggunakan topologi bintang pada lapisan fizikaldan unit akses pelbagai stesen untuk meniru cincin pada lapisan pautan data.
Banyak rangkaian cincin menambah satu "kaunter cincin berputar" untuk membentuk satu topologi berlebihan.
Kelebihan
- Rangkaian ini tidak memerlukan komputer pelayan
- Rangkaian boleh dibina lebih luas menggunakan gelang token
Kelemahan
- Satu komputer tidak berfungsi menyebabkan masalah dalam rangkaian
- Tidak mudah untuk membaik pulih jika berlaku kerosakan
- Kad rangkaian jenis MAU mahal dari kad rangkaian jenis ethernet
- Lebih perlahan dari rangkaian ethernet